Sunday, June 07, 2009

MISI DANA SYAQAH 2009 : PENDERMA DIPERLUKAN

Dana Syaqah PMRAM yang ditubuhkan sekitar tahun 2006 masih belum terealisasi. Pelbagai usaha dilakukan untuk menjayakan misi tersebut. Bermula pada tahun 2007 ketika mana ia ditaklifkan kepada Saudara Mohd Rasul Bin Amat yang memegang portfolio Badan Kebajikan dan Tabung Derma dengan melancarkan kempen derma 'Sumbangsih Dana Syaqah'. Dalam masa yang sama, bantuan sahabat-sahabat ahli PMRAM yang pulang ke Malaysia samada bercuti atau tamat pengajian juga membantu bagi kutipan di Malaysia melalui penyediaan kertas kerja Dana Syaqah sebagai bukti kutipan.

Namun begitu, jumlah yang dapat dikumpul tidak mencecah separuh daripada jumlah sasaran sebenar. Ia kemungkinan promosi dan penjelasan yang tidak menyeluruh menyebabkan kutipan yang diperolehi tidak memberangsangkan.

Kini, 2009 telah memasuki tahun ketiga setelah Tabung Dana Syaqah ini dilancarkan. Akan tetapi jumlah kutipan masih tidak mencapai sasaran LE 1, 500, 000. Setelah berlaku perubahan tampuk pimpinan sesi 2009 dikuatkan lagi dengan gesaan yang dibuat oleh majoriti perwakilan yang hadir pada Muktamar Sanawi PMRAM yang lepas, maka usul untuk mendapatkan syaqah PMRAM sebelum akhir tahun 2009 dipersetujui.

Persoalannya, bagaimanakah sambutan ahli meskipun ianya diterima sebulat suara oleh para perwakilan? Saya yakin di sana pasti ramai yang ternanti-nanti untuk menghulurkan sumbangan untuk menjayakan misi Dana Syaqah buat yang kesekian kalinya ini. Saya selaku pengarah Misi Dana Syaqah PMRAM untuk sesi ini di bawah pantauan Saudara Mohd Zuhaili Saiman selaku Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan dan juga Presiden PMRAM sendiri akan mengerah tulang empat kerat untuk menjayakan misi ini sedaya mampu.

Segala idea, buah fikiran dan saranan daripada sahabat-sahabat ahli PMRAM sekalian amatlah diharapkan demi menjayakan misi ini sebelum akhir tahun ini. Antara bantuan yang boleh kalian salurkan dan hulurkan adalah :

pertama : Kalian telah menyumbang LE300 atau belum? Kalau belum, tunaikan terlebih dahulu kemudian barulah disusuli dengan bantuan selanjutnya. Bagaimana caranya?
  • Dapatkan borang melalui AJKT Kebajikan BKAN atau DPM masing atau wakilnya.
  • Ataupun boleh dapatkannya melalui Pengarah Misi Dana Syaqah 2009.
  • Ataupun boleh terus dapatkannya di pejabat PMRAM melalui Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2009 atau mana-mana wakil Badan Pengurus yang ada.

kedua : Menjadi promoter untuk mempromosikan Dana Syaqah di laman blog masing-masing dengan meletakkan banner berserta pautan blog dana syaqah sebagaimana yang tertera di blog pengarah.

Ketiga : Menjadi ejen kutipan Dana Syaqah bagi mereka yang akan pulang ke Malaysia dengan mendaftarkan nama dan mendapatkan Proposal Cadangan Pemilikan Dana Apartmen Pejabat PMRAM daripada AJKT Kebajikan BKAN/DPM masing-masing. Atau boleh terus dapatkannya di Pejabat PMRAM sebelum berangkat pulang.

Keempat : Sebarang kemusykilan kalian boleh terus layari blog rasmi Dana Syaqah PMRAM di link ini atau boleh terus menghubungi Pengarah Dana Syaqah 2009 di talian berbayar +2011-2356361.

Kutipan yang diperlukan untuk mencukupkan jumlah kutipan masih terlalu banyak. Seandainya ahli yang hampir 5000 ini tidak dapat membantu merealisasikan impian bersama ini, ianya tidak bemakna apa-apa. PMRAM menyedari ramai di kalangan ahli PMRAM bukan dari golongan berada bahkan ramai yang menghadapi kesesakan kewangan. Akan tetapi, adalah sewajarnya ahli PMRAM yang sensitif dan cintakan PMRAM membantunya dengan sedaya mungkin dengan opsyen yang diberikan.

PMRAM tiada menerima sebarang peruntukan dari kerajaan Malaysia apatah lagi kerajaan Mesir untuk bergerak. Segalanya datang daripada ahli dan kembali kepada ahli jua akhirnya. Kalau bukan untuk kesenangan dan kemudahan generasi hari ini, fikirkanlah untuk generasi anak-anak dan cucu cicit akan datang.

Ayuh bersama kita jayakan Misi Dana Syaqah PMRAM sebelum akhir tahun 2009 bertemakan "Hulurkan Sumbangan, Tunaikan Kewajiban".

Saturday, May 09, 2009

BANNER MISI SYAQAH PMRAM 2009 MENGHIASI SEMPENA IMTIHAN

Dalam menghidupkan suasana bagi menjayakan Misi Syaqah PMRAM 2009, pihak UDS di bawah kelolaan Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan PMRAM 2009, membuat banner rasmi bagi setiap BKAN dan DPM. cadangan dan idea berkenaan banner tersebut merupakan persetujuan di antara setiap exco kebajikan dalam mesyuarat Kebajikan di antara PMRAM, BKAN dan DPM kali ke-2.

Banner ini bertujuaan menghidupkan suasana mengumpulkan dana bagi Syaqah PMRAM sempena musim peperiksaan ini supaya ia tidak malap di sepanjang tempoh peperiksaan. Diharapkan dengan banner Misi Syaqah PMRAM 2009 ini menjadi penghias disamping menyemarakkan tema 'Hulurkan Sumbangan Tunaikan Kewajipan'.

Justeru, mana-mana mahasiswa/wi khasnya ahli PMRAM, umumnya mereka yang berada di mesir yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah terus melalui wakil unit kebajikan BKAN dan DPM masing-masing ataupun terus melalui Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan, saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman di talian +20100716474. bagi pihak mahasiswi boleh juga melalui ketua unit Kebajikan Dan Kemanusiaan PMRAM 2009, saudari Raudah Hanum di talian +20103800211.

Tuesday, April 28, 2009

Lakaran Sejarah Dana Apartmen PMRAM

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) merupakan sebuah pertubuhan berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir bagi menaungi pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Republik Arab Mesir. Persekutuan ini telah ditubuhkan pada tahun 1930 dan didaftarkan di bawah pihak Kementerian Kemasyarakatan Mesir pada tahun 1956 sehingga sekarang.

Sebelum ini segala gerak kerja kepejabatan dan aktiviti PMRAM beroperasi di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) dan menjalankan aktiviti di rumah-rumah negeri namun setelah PMRAM tidak dibenar menjalankan operasi dan aktivitinya di tempat-tempat tersebut oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah

Ketika mana pejabat PMRAM di ARMA dipalang pada tahun 1994 dan tidak dibenarkan beroperasi sehinggalah sekarang dan dalam waktu yang sama penghantaran warden di rumah-rumah negeri menyukarkan PMRAM untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan kepada ahli malah Persekutuan langsung tidak diberi ruang untuk masuk ke rumah negeri bahkan iklan-iklan PMRAM juga tidak dibenarkan.

Rentetan daripada peristiwa ini, kini PMRAM telah menjalankan operasinya dengan menyewa sebuah apartmen milik rakyat tempatan dengan kadar harga bulanan LE 1300.00. Sewaan di lokasi ini telah memakan masa selama hampir 12 tahun dan kadar sewaan tersebut meningkat dari setahun ke setahun dan bermula November 2008 sewa pejabat PMRAM mencecah LE 1800 sebulan.

Oleh yang demikian, atas kesedaran, ahli PMRAM sendiri telah mencadangkan agar pihak PMRAM dapat memiliki sebuah apartment sendiri sekaligus menjadi pejabat rasmi PMRAM. Ini adalah satu usaha yang baik sekaligus dapat menjimatkan kos pembayaran sewa pejabat yang kini mencecah ribuan ringgit.

Pada tahun 2006, PMRAM telah meletakkan target nilai LE 1.5 juta dapat dikutip daripada sumbangan semua ahli PMRAM dan PMRAM telah melancarkan Tabung Dana Syaqah PMRAM. Pelbagai usaha dan cara telah diberikan oleh ahli PMRAM agar dapat mencapai misi ini.

Bertitik tolak daripada permulaan ini, Tabung Dana Syaqah PMRAM terus diperkasakan saban tahun. Dengan kesinambungan misi PMRAM yang lepas, pada tahun 2011 ini, di bawah pimpinan  Naib Presiden III, Badan Kebajikan dan Kemanusiaan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir Ustaz Sheikh Muhd Mujahid Sikh Nawawi, terus memperkasakan perancangan yang telah diaturkan untuk memiliki sebuah pejabat rasmi PMRAM. Sasaran PMRAM untuk mencapai hasrat ini akan diteruskan sehinggalah penghujungnya. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita memperkasakan Misi Dana Syaqah PMRAM. Semoga kita beroleh berkat dan rahmat daripada Allah atas bantuan dan sumbangan yang disalurkan.

Sunday, April 26, 2009

" Hulurkan Sumbangan, Tunaikan Kewajiban " - Tema Yang Tepat

Misi Syaqah PMRAM 2009 yang dilancarkan baru-baru ini bagi menjayakan usul yang disepakati iaitu "Menjayakan Pembelian Syaqah PMRAM Akhir 2009" dengan tambaha "Yuran LE 300", pada hari ini melancarkan tema "Hulurkan Sumbangan, Tunaikan Kewajiban"

Tema ini bersesuaian dengan target yang telah disepakati iaitu LE 300 daripada setiap ahli, walaupun tidaklah ia mewajibkan dan bergantung ke atas kemampuan seseorang. Tema ini seolah-olah menitikberatkan bahawa kejayaan untuk mendapatkan syaqah PMRAM akhir tahun ini merupakan kewajipan semua pihak dan bukan hanya melalui PMRAM semata-mata.

Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan, Saudara Muhammad Zuhaili bin Saiman berkata, "setiap ahli perlu mengisi borang yang telah diedarkan oleh setiap wakil kebajikan di BKAN dan DPM masing-masing bagi memudahkan analisis dijalankan bagi setiap status kemampuan ahli."

Pengedaran borang tersebut juga sebagai bukti bahawa yuran LE 300 bukanlah satu kewajipan yang tetap yang menjadi bebanan ke atas setiap ahli PMRAM, bahkan ia merupakan satu misi yang perlu direalisasikan oleh setiap ahli.

Selain itu juga, bagi mahasiswa mahasiswi Mesir yang sudah pulang ke Malaysia mahupun masyarakat luar yang ingin menghulurkan sumbangan dalam menjayakan "MISI SYAQAH PMRAM 2009" boleh menyalurkan sumbangan tersebut ke akaun HSBC bernombor 001-017193-011 yang bernama Hairul Nizam bin Mat Husin. Akaun tersebut telah dijadikan sebagai akaun rasmi bagi sumbangan luar MISI SYAQAH PMRAM 2009.

Followers