Tajuk: Kerana
Malas Semua Terjejas
Oleh: Che
Amiruddin bin Che Su
“Ya Allah! Sesungguhnya aku
berlindung dengan-Mu daripada penyakit lemah dan malas.” Pernahkah anda berdoa dengan doa
ini? Doa ini adalah salah satu doa yang dimasukkan dalam kompilasi wirid MA’THURAT
yang biasa kita baca di awal pagi dan tika matahari mula terbenam. Kita memohon kepada Tuhan yang menciptakan kita supaya dijauhkan daripada dua
penyakit jiwa yang berbahaya iaitu
penyakit lemah dan barah malas yang
menghancurkan.
MALAS, satu
penyakit yang mudah diungkap oleh mulut namun begitu susah dicabut keluar dari
dasar hati seseorang yang bergelar insan. Kerana malas semua terjejas. Anda malas beribadah, akibatnya dimurkai Allah.
Anda malas bekerja, akibatnya hidup anda mungkin tidak tentu hala. Anda malas
makan, akibatnya mati kelaparan, malas makan ubat jawabnya penyakit yang
dialami tidak dapat dirawat. Begitulah bahayanya penyakit malas, membawa ‘pesakit’nya
kepada kemunduran dan kehancuran.
Anda malas
belajar, ilmu yang dicari tidak mampu dikecapi. Tanpa ilmu, hidup anda pasti
sesat tanpa arah tuju. Hendakkan ilmu penuh di dada, bukan sekadar melafazkannya
di mulut tanpa kesungguhan dan usaha. Lihat sahaja kesungguhan Imam Syafie Rahimahullah
dalam menuntut ilmu, mencari para guru untuk mendalami pelbagai ilmu di setiap
pelusuk dunia. Kini, beliau antara ulama besar sepanjang zaman yang mengukir
nama dalam senarai ilmuan Islam.
Imam Bukhari Rahimahullah,
pengumpul hadis Rasulullah S.A.W, begitu bersungguh mengembara ke setiap pelusuk
dunia. Hasilnya, beliau berjaya mengumpul beratus ribu hadis daripada setiap
perawi yang ditemuinya. Kalaulah beliau malas, maka kita tidak akan dapat
menatap kitab Sahih Bukhari sebagaimana yang dapat kita lihat pada hari ini.
Imam Al-Andalusi,
sanggup berjalan kaki daripada bumi Andalusia ke Kota Baghdad semata-mata ingin
menuntut ilmu dengan Imam Ahmad Ibnu Hanbal. Kesungguhan dan kesanggupan beliau
meredah benua, menjadikan beliau seorang yang alim dalam ilmu agama. Kalau
malas dijadikan alasan, maka hendak keluar daripada rumah pun jadi satu
bebanan.
Ada satu kisah, seorang raja
dalam sebuah negeri ingin mencari orang
yang paling malas di dalam negerinya. Lalu datanglah beberapa orang daripada
rakyat baginda yang mengaku sebagai orang yang paling malas dalam negeri. Ada
diantara mereka yang mengatakan bahawa merekalah yang paling malas kerana
hendak makan pun ada orang yang tolong suapkan. Kerana apa?, kerana mereka
malas nak suap makanan sendiri.
Datang pula rakyatnya yang lain
yang mengatakan bahawa dialah rakyat negeri itu yang paling malas. Katanya, beliau seorang
yang sangat pemalas sehinggakan apabila beliau hendak makan, orang lain yang tolong kunyahkan dan suapkan kepadanya. Tidak
berapa lama kemudian, datang pula rakyat negeri itu yang lain mengaku sebagai rakyat yang paling malas dalam
negeri tersebut. Raja negeri tersebut meminta rakyat tersebut menceritakan
alasan beliau yang mengatakan beliau
seorang yang paling malas. Beliau pun menjawab
dengan jawapan yang ringkas:
“Nak cerita pun malas!”.
Kisah
tersebut hanyalah sebuah kisah
dongeng. Mungkin anda tersenyum sendirian apabila membaca kisah ini. Namun, suatu perkara yang perlu anda ingat, sifat
malas sebagaimana yang ingin dibawa daripada kisah ini bukan satu dongengan. Ia
satu realiti dalam kehidupan makhluk yang bergelar insan.
Saya
masih ingat kata-kata seorang mahasiswa Al-Azhar yang saya
kagumi kesungguhannya dalam menuntut ilmu. Beliau mengatakan bahawa “kita masih
mampu meraikan jika seseorang itu tidak mempunyai kemampuan namun kita tidak boleh
meraikan mereka yang mempunyai sifat
malas”. Benar kata-kata beliau, mereka yang tiada kemampuan namun jika terus berusaha
pasti mencapai impiannya dan mendapat ganjaran daripada Tuhan. Bagi mereka yang
pemalas pula, biar seribu kekuatan dimiliki empunya badan, namun usaha tersebut pasti terhenti
separuh jalan atau
menemui kegagalan.
Musim
peperiksaan kini menjelang tiba. Ketika ini ramai yang berusaha sedaya upaya bagi
menggenggam sebuah kejayaan.
Bagi mereka yang mempunyai
kesungguhan dalam mencari
ilmu, mereka berlumba-lumba menuntut ilmu demi
kecemerlangan dunia dan
akhirat. Bagi mereka yang
pemalas, usaha dibuat sambil
lewa sekadar melepaskan batuk di
tangga.
Lihatlah
di mana anda
berada. Adakah anda tergolong dalam golongan yang disifatkan
sebagai pemalas ataupun sebaliknya? . Jika ya, berubahlah menjadi seorang yang Itqan
dalam semua perkara termasuk dalam menuntut
ilmu Allah. Yang pasti, anda adalah
seorang yang mempunyai
sedikit kerajinan walaupun sedikit. Buktinya, anda mampu membaca coretan ini. Kalau tidak, tentu sahaja anda
tidak ambil kisah dengan coretan
atau artikel seperti ini. Saya doakan semoga
kita bukan sekadar membacanya bahkan mengamalkannya dalam kehidupan yang mendatang
dengan penuh kesungguhan tanpa sifat
malas. Kita mampu mengubahnya.
No comments:
Post a Comment