Monday, August 22, 2011

Kalam Pengarah Unit Dana Syaqah PMRAM 2011


Bismillahirrahmanirrahim...
Segala puji bagi Allah kerana masih menghidupkan kita di muka bumi ini untuk meneruskan kehidupan sebagai pembantu agama-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kekasih yang dicintai Nabi Muhammad s.a.w.
Serta ribuan ucapan terima kasih kepada kedua-dua ibu bapa yang sentiasa mendidik dan mentarbiah diri dari kecil hingga ke saat ini.

Unit Dana Syaqah di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) adalah satu unit yang ditubuhkan khusus untuk membantu pergerakan PMRAM untuk mendapatkan bangunan rasmi. Bangunan yang diharap-harapkan itu sebagai pengganti kepada hilangnya hak penggunaan PMRAM ke atas Asrama Rumah Melayu Abasiyah (ARMA).

Walaupun PMRAM mampu untuk menyewa pejabat sebagai tempat untuk menjalankan operasi sehingga kini, namun kos yang semakin lama semakin meninggi itu merugikan PMRAM sehingga mencapai kadar harga bulanan sebanyak LE 3050. Justeru, cadangan mewujudkan Unit Dana Syaqah bertepatan bagi menjimatkan dana PMRAM seterusnya boleh digunakan untuk tujuan-tujuan yang lain.

Unit yang telah menjangkau 5 tahun penubuhannya ini secara sedar tidak sedar telah mampu untuk mengumpul sebanyak LE 404,451.10

Walaupun jumlah tersebut sememangnya tersasar dari matlamat yang ingin dicapai dari satu pimpinan ke pimpinan yang lain, namun pergerakan untuk meneruskan Unit ini sememangnya perlu dan wajib diteruskan selagi belum wujudnya apartmen yang diimpi-impikan.

Oleh yang demikian, untuk meneruskan tanggungjawab yang dipundakkan ke atas bahu ini selaku pengarah bagi sesi yang baru, maka kami mensasarkan nilaian bagi sesi ini sehingga mencapai pengumpulan sebanyak LE 700,000,00

Jika ingin dilihat peratusan kenaikan per-tahun, sememangnya jumlah tersebut tidak masuk akal jika ingin diperbahas. Namun, dengan keyakinan dan pengharapan yang tinggi kepada Allah, kami yakin bahawa kami mampu untuk mengubah arus dan corak yang sedia ada. Ditambah dengan komitmen seluruh ahli untuk berusaha secara langsung mahupun secara tidak langsung bagi mendapatkan dana tersebut.

Untuk itu juga, pada sesi ini, setelah diperbincang bersama AJK induk UDS kami telah bersetuju untuk melaksanakan satu skim baru yang dinamakan Skim Saham Waqaf PMRAM 2011.Apa yang menjadi harapan adalah dengan skim yang bakal diadakan itu mempercepatkan lagi proses mendapatkan syaqah tersebut.

Moga-moga dengan sedikit usaha yang kami jalankan disertakan dengan komitmen ahli-ahli dalam membantu Unit Dana Syaqah PMRAM mendapat keberkatan dan keredhoan daripada Allah seterusnya impian apartmen yang diimpi-impikan itu akan menjadi kenyataan,InsyaAllah.


Muhammad Sufi Mohd Yusof
Pengarah
Unit Dana Syaqah PMRAM 2011.

No comments:

Post a Comment

Followers