Friday, May 03, 2013

Kerana Malas Semua Terjejas



Tajuk: Kerana Malas Semua Terjejas
Oleh: Che Amiruddin bin Che Su
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit lemah dan  malas.” Pernahkah anda berdoa dengan doa ini? Doa ini adalah salah satu doa yang dimasukkan dalam kompilasi wirid MA’THURAT yang biasa kita baca di awal pagi dan tika matahari mula terbenam.  Kita memohon kepada Tuhan yang  menciptakan kita supaya dijauhkan daripada dua penyakit jiwa yang berbahaya  iaitu penyakit  lemah dan barah malas yang menghancurkan.
MALAS, satu penyakit yang mudah diungkap oleh mulut namun begitu susah dicabut keluar dari dasar hati seseorang yang bergelar insan. Kerana malas semua terjejas.  Anda malas beribadah, akibatnya dimurkai Allah. Anda malas bekerja, akibatnya hidup anda mungkin tidak tentu hala. Anda malas makan, akibatnya mati kelaparan, malas makan ubat jawabnya penyakit yang dialami tidak dapat dirawat. Begitulah bahayanya penyakit malas, membawa ‘pesakit’nya kepada kemunduran dan kehancuran.
Anda malas belajar, ilmu yang dicari tidak mampu dikecapi. Tanpa ilmu, hidup anda pasti sesat tanpa arah tuju. Hendakkan ilmu penuh di dada, bukan sekadar melafazkannya di mulut tanpa kesungguhan dan usaha. Lihat sahaja kesungguhan Imam Syafie Rahimahullah dalam menuntut ilmu, mencari para guru untuk mendalami pelbagai ilmu di setiap pelusuk dunia. Kini, beliau antara ulama besar sepanjang zaman yang mengukir nama dalam senarai ilmuan Islam.
Imam Bukhari Rahimahullah, pengumpul hadis Rasulullah S.A.W, begitu bersungguh mengembara ke setiap pelusuk dunia. Hasilnya, beliau berjaya mengumpul beratus ribu hadis daripada setiap perawi yang ditemuinya. Kalaulah beliau malas, maka kita tidak akan dapat menatap kitab Sahih Bukhari sebagaimana yang dapat kita lihat pada hari ini.
Imam Al-Andalusi, sanggup berjalan kaki daripada bumi Andalusia ke Kota Baghdad semata-mata ingin menuntut ilmu dengan Imam Ahmad Ibnu Hanbal. Kesungguhan dan kesanggupan beliau meredah benua, menjadikan beliau seorang yang alim dalam ilmu agama. Kalau malas dijadikan alasan, maka hendak keluar daripada rumah pun jadi satu bebanan.
Ada satu kisah, seorang raja dalam sebuah negeri  ingin mencari orang yang paling malas di dalam negerinya. Lalu datanglah beberapa orang daripada rakyat baginda yang mengaku sebagai orang yang paling malas dalam negeri. Ada diantara mereka yang mengatakan bahawa merekalah yang paling malas kerana hendak makan pun ada orang yang tolong suapkan. Kerana apa?, kerana mereka malas nak suap makanan sendiri.
Datang pula rakyatnya yang lain yang mengatakan bahawa dialah rakyat negeri  itu yang paling malas. Katanya, beliau seorang yang sangat pemalas sehinggakan apabila beliau hendak makan, orang lain yang  tolong kunyahkan dan suapkan kepadanya. Tidak berapa lama kemudian, datang pula rakyat negeri  itu yang lain  mengaku sebagai rakyat yang paling malas dalam negeri  tersebut. Raja negeri  tersebut meminta rakyat tersebut menceritakan alasan beliau yang  mengatakan beliau seorang yang paling malas. Beliau pun menjawab  dengan  jawapan  yang  ringkas: “Nak cerita pun malas!”.
                Kisah  tersebut  hanyalah  sebuah  kisah  dongeng.  Mungkin  anda  tersenyum  sendirian  apabila membaca  kisah ini. Namun,  suatu perkara yang perlu anda ingat, sifat malas sebagaimana yang ingin dibawa daripada kisah ini bukan satu dongengan. Ia satu realiti dalam kehidupan makhluk yang bergelar insan.
                Saya masih ingat kata-kata seorang mahasiswa Al-Azhar  yang  saya kagumi kesungguhannya dalam menuntut ilmu. Beliau mengatakan bahawa “kita masih mampu meraikan jika seseorang itu tidak mempunyai kemampuan namun kita tidak boleh meraikan mereka  yang mempunyai sifat malas”. Benar kata-kata beliau, mereka  yang  tiada kemampuan namun jika terus berusaha pasti mencapai impiannya dan mendapat ganjaran daripada Tuhan. Bagi mereka yang pemalas pula, biar seribu kekuatan dimiliki empunya badan, namun  usaha  tersebut  pasti  terhenti  separuh  jalan  atau  menemui  kegagalan.
                Musim  peperiksaan  kini  menjelang  tiba.  Ketika ini ramai yang berusaha  sedaya  upaya  bagi menggenggam  sebuah  kejayaan.  Bagi  mereka  yang  mempunyai  kesungguhan  dalam  mencari  ilmu, mereka  berlumba-lumba  menuntut  ilmu  demi  kecemerlangan  dunia  dan  akhirat. Bagi  mereka  yang pemalas,  usaha  dibuat  sambil  lewa  sekadar  melepaskan  batuk  di  tangga.
                Lihatlah  di  mana  anda  berada.  Adakah  anda  tergolong  dalam golongan  yang  disifatkan  sebagai pemalas  ataupun  sebaliknya? .  Jika ya,  berubahlah  menjadi  seorang  yang  Itqan  dalam  semua perkara  termasuk  dalam  menuntut  ilmu  Allah. Yang pasti,  anda  adalah  seorang  yang  mempunyai sedikit  kerajinan  walaupun  sedikit. Buktinya, anda  mampu  membaca  coretan  ini. Kalau tidak,  tentu sahaja  anda  tidak ambil  kisah  dengan  coretan  atau  artikel  seperti  ini. Saya  doakan  semoga  kita bukan  sekadar  membacanya  bahkan  mengamalkannya  dalam  kehidupan  yang  mendatang  dengan penuh  kesungguhan  tanpa  sifat  malas. Kita  mampu  mengubahnya.


No comments:

Post a Comment

Followers