
Assalamualaikum WBT...
Alhamdulillah, selaut kesyukuran kita panjat ke hadrat Ilahi, atas limpah kurnia-Nya kita masih lagi dapat berdiri teguh di bawah kesatuan yang membawa dasar Al-Quran dan As-Sunnah, iaitu PMRAM. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat dan pejuang-pejuang agama Allah SWT.
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Sebagaimana yang kita ketahui, kini Misi Syaqah PMRAM sudah menjejak tahun yang ke-5 selepas ia dijalankan bermula tahun 2006. Sehingga kini jumlah LE 1.5 juta masih lagi jauh bahkan secara logik, angka ini agak payah untuk dikecapi dalam masa yang terdekat ini. Lagi, kegagalan kita bersama di dalam menjayakan usul yang lepas iaitu menjayakan pembelian Syaqah PMRAM pada akhir 2009 menjadikan Misi Syaqah PMRAM tertanya-tanya bilakah lagi misi ini akan ditetapkan berakhir. Saya selaku Pengarah bagi Unit Dana Syaqah PMRAM mengungkapkan kembali kalam daripada Saudara Zuhaili Saiman selaku Ketua Kebajikan Dan Kemanusiaan PMRAM bahawa objektif utama ialah PMRAM mendapat syaqah yang diimpikan bagi menjalankan operasi kepejabatan. Adapaun ketetapan tarikh pada sebelum 31 Disember 2009 sebelum hanya sebagai suatu momentum bagi mempercepatkan dana yang disasarkan. Maka, saya mengingatkan lagi bahawa Misi Syaqah PMRAM terus berjalan sehingga sebuah syaqah mampu dimiliki, tidak kira samada mengambil masa yang agak panjang.
Di bawah aktiviti Unit Dana Syaqah PMRAM yang ditubuhkan khas bagi merealisasikan Misi Syaqah PMRAM pelbagai aktiviti telah pun dijalankan bagi mendapatkan dana seperti jualan barangan Dana Syaqah, mengmbil tender bazar, mengadakan pameran dan road show bagi menerangkan kepentingan syaqah dan menyeru ahli membantu misi ini dengan semaksima yang mungkin.
Justeru, saya mengingatkan sahabat-sahabat sekalian bahawa Misi Syaqah ini tidak akan berjaya sekiranya tiada usaha bersama di antara pimpinan dan ahli. Apa yang penting saya menyeru semua sahabat agar kita semua menjadi agen di dalam menjayakan misi ini samada agen secara rasmi atau tidak. Ingatlah sahabat-sahabat, kalau di zaman dahulu adanya 65 tentera sukarelawan yang sanggup mengggadaikan nyawa, dan pada hari ini saya minta biar sahabat-sahabat yang ada di hadapan mata saya ini mampu menuruti jejak mahasiswa terdahulu. Usaha lelah biar kita tanggung sama-sama, insyaallah kemanisan akan lebih bermakna.
Di akhir kalam, marilah kita sama-sama menjayakan Misi Syaqah PMRAM dengan segera. Semoga kalam yang ringkas ini mampu memberikan sedikit kesedaran kita bersama.