Tuesday, January 05, 2010

JUMLAH TERKINI DANA SYAQAH PMRAM

Kaherah, 31 Disember - Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan PMRAM 2009, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman hari ini mengumumkan bahawa jumlah dana syaqah (apartmen) yang terkumpul secara rasmi setakat ini adalah sebanyak LE 330 509.85.

Beliau juga memaklumkan bahawa, Misi Syaqah PMRAM untuk berjaya membeli satu syaqah pada akhir tahun 2009 adalah masih belum tercapai. Ia berdasarkan sasaran yang dilakukan pada tahun 2006 iaitu LE 1.5 juta dan memandangkan jumlah yang terkumpul setakat ini masih jauh.

Namun begitu, misi bagi mendapatkan syaqah untuk urusan kepejabatan PMRAM tidak akan terhenti setakat ini sahaja, bahkan akan dilanjutkan sehingga syaqah yang menjadi sasaran PMRAM, berjaya dimiliki dan ia akan diteruskan pada sesi pentadbiran pada masa akan datang.

Berkenaan dengan perkara tersebut, Saudara Zuhaili yang bertanggungjawab penuh dalam misi ini mengulas bahawa, ketidakberjayaan usul yang telah disepakati pada Muktamar Sanawi PMRAM yang lepas merupakan muhasabah bersama disetiap peringkat sama ada PMRAM, exco dan ahli. Hal ini menunjukkan bahawa mungkin tidak semua yang mengambil perhatian yang betul-betul serius akan perkara yang besar ini. Oleh yang demikian, menjayakan juga pembelian syaqah, maka tidak dapat tidak, seluruh peringkat perlu mengambil perhatian yang betul-betul serius di peringkat yang tertinggi dan bertindak dengan menggandakan usaha secara kolektif.

Beliau mengulas lagi bahawa, "Usul yang disepakati pada muktamar yang lepas diletakkan pada akhir tahun 2009 adalah sebagai pemangkin untuk mengumpulkan dana, akan tetapi, misi yang utama adalah untuk memperoleh syaqah itu sendiri. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa, jika tidak mempu, mengapa perlu diletakkan pada akhir 2009? Maka, misi syaqah PMRAM akan diteruskan lagi pada tahun 2010 dan seterusnya sehingga PMRAM berjaya memiliki sebuah syaqah untuk kepentingan bersama selepas PMRAM diusir dari ARMA untuk tempoh yang lama," ulas beliau lagi.

Saudara Zuhaili menambah, "Dengan keadaan pejabat sekarang yang menelan belanja sewa bulanan hampir mencecah LE 2000 sebulan, dan ditambah lagi dengan sewaan Markaz HEWI PMRAM, PMRAM terpaksa mengeluarkan hampir LE 30000 setahun semata-mata untuk bayaran sewa sahaja. Sekiranya PMRAM dapat memiliki pejabat sendiri, kita mampu untuk mengurangkan perbelanjaan tahunan PMRAM bahkan, duit tersebut dapat digunakan untuk kebaikan secara meluas berdasarkan perangkaan bagi sesuatu sesi kepemimpinan PMRAM."

Akhir sekali, pihak PMRAM mengucapkan terima kasih kepada mereka khususnya ahli PMRAM yang telah banyak membantu dalam memberikan sumbangan bagi menjayakan Misi Syaqah PMRAM, dan dengan ini, misi tersebut akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan pada tahun-tahun yang berikutnya selagi mana syaqah masih belum dimiliki.

No comments:

Post a Comment

Followers